1. PENGENALAN

cropped-logo-HKSBP.jpg

Penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), secara umumnya bermatlamat untuk mewujudkan peluang bagi pelajar-pelajar yang berpotensi mendapatkan pendidikan yang sempurna, teratur dan terkini dalam iklim persekolahan yang kondusif. Di samping menjayakan program pendidikan menengah yang berorientasikan sains bagi merealisasikan tuntutan Wawasan 2020, SBP juga sentiasa berusaha memberi pendidikan yang berkualiti, menyeluruh, berkesan dan seimbang dalam usaha melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang demi memartabatkan agama, bangsa dan kepimpinan negara pada masa depan. SBP merupakan wadah yang terbaik dan menjadi harapan sistem pendidikan negara untuk melahirkan pelajar yang memiliki kecemerlangan ilmu, kemapanan sahsiah, kesejagatan kepimpinan dan kejituan patriotisme.

Latar belakang

Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (HKSBP) adalah acara tahunan sejak tahun 1974 lagi. Piala Pusingan pertandingan ini telah disumbangkan oleh Allahyarham Tun Hj. Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia Kedua. Ia merupakan satu program kemuncak Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan menjadi kebanggaan SBP kerana dapat menghimpunkan semua SBP bagi mempamerkan bakat dan kehebatan disamping perjumpaan yang berkonsepkan ukhwah di kalangan warga SBP.

Berlangsungnya Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh 2013 ini adalah untuk memberikan pengiktirafan terhadap pelbagai pencapaian dan kejayaan warga SBP dalam pelbagai bidang pendidikan meliputi akademik, kokurikulum, inovasi, penyelidikan dan kepimpinan. Selain itu, program ini juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama warga SBP di samping menjadi suatu platfom kepada warganya untuk berinteraksi, bermuzakarah, mengasah bakat, menjana minda serta menimba pengalaman berharga menerusi pelbagai aktiviti yang telah dirancang.

Objektif HKSBP

  1. Memperkukuhkan pemuafakatan, hubungan silaturahim, persefahaman dan kerjasama dalam kalangan warga SBP.
  2. Mewujudkan rasa tanggungjawab dan memupuk semangat kekitaan dalam usaha meningkatkan imej dan prestasi SBP.
  3. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan terhadap kejayaan dan pencapaian cemerlang seluruh warga SBP dalam pelbagai aktiviti dan lapangan.
  4. Mempraktis, menerap dan menggunakan sepenuhnya kemahiran yang dipelajari dan pengalaman yang diperolehi serta bakat yang ada melalui pertandingan bahas ala parlimen dan pertandingan bola keranjang serta persembahan kreatif seni dan budaya.
  5. Menyediakan prasarana dan wadah untuk semua aktiviti pendidikan yang melibatkan perancangan, pengurusan, pelaksanaan dan penilaian bidang kurikulum dan kokurikulum SBP.